Selepas PKP dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei ianya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda positif bagi sukan bolasepak terutamanya untuk dimainkan semula. Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuklah aksi bola sepak tetap tidak dibenarkan sekalipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Menurut beliau bolasepak adalah sukan yang perlukan 22 pemain dan 3 pengadil di dalam padang. Mereka juga perlu melakukan sentuhan fizikal yang akan meningkatkan peluang penyebaran Covid-19 di kalangan pemain meskipun  tiada penonton

Beliau memberikan gambaran sukan badminton lebih sesuai untuk dimainkan semula kerana tiada hubungan rapat berlaku serta kedua-dua pihak tidak perlu berada di satu kawasan sama iaitu di kawasan berlainan gelanggang.

FAM juga menegaskan bahawa mereka bersedia dalam sebarang kemungkinan untuk Liga Malaysia dibatalkan. Mereka sedang menunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia sebelum mengumumkan pada semua pemegang taruh.

Ianya juga ditambah dengan kenyataan tegas Dr Hisham Abdullah,Ketua Pengarah KKM bahawa semua aktiviti melibatkan perkumpulan orang ramai akan dihadkan dalam tempoh 6 sehingga 12 bulan selepas tamat tempoh PKP.

Oleh itu haruslah semua penggiat bolasepak akar umbi terutamanya untuk bersedia menjalani kehidupan tanpa bolasepak. Ianya sesuatu yang menyedihkan namun harus dilakukan jika kita tidak mahu keadaan semakin serius.